KOTA BELUD, 2 Jun – Sambutan Pesta Kaamatan menjadi platform penting dalam memperkukuhkan semangat kebersamaan, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, nilai kerjasama dan perpaduan perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan kekuatan utama rakyat Sabah dalam mengekalkan keharmonian, keamanan dan kestabilan negeri.

“Nilai-nilai inilah yang selama ini menjadi kekuatan rakyat Sabah dalam mengekalkan keharmonian, keamanan dan kestabilan.

“Saya menghargai semangat kesatuan, kerjasama dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung di Kadamaian dalam menjayakan sambutan Kaamatan di kampung masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan di beberapa kampung dalam kawasan Kadamaian, baru-baru ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian mengunjungi empat kampung yang mengadakan sambutan Kaamatan iaitu Kampung Piasau, Kampung Talungan, Kampung Terintidon dan Kampung Sayap.

Menurut beliau, sebanyak 16 kampung dalam kawasan Kadamaian mengadakan sambutan Pesta Kaamatan secara serentak pada hari tersebut.

“Bagi kampung-kampung lain yang tidak sempat saya kunjungi, saya telah mewakilkan Setiausaha Politik, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Pegawai Kemajuan Masyarakat untuk hadir menyampaikan salam serta mewakili saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan beberapa sumbangan menerusi peruntukan touchpoint ADUN bagi membantu memenuhi keperluan komuniti serta menyokong pembangunan kampung.

Di Kampung Piasau, beliau menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau serta RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi tujuan pemasangan meter air dan penyelenggaraan sistem perpaipan di kawasan dewan.

Bagi Kampung Talungan, sebanyak RM10,000 disalurkan untuk perolehan kelengkapan memasak guna sama serta kerja-kerja mengecat gelanggang sepak takraw kampung.

Di Kampung Terintidon pula, beliau menyampaikan RM10,000 bagi perolehan kelengkapan perpaipan bekalan air graviti, RM6,000 untuk pembinaan bengkel membuat parang dan RM4,000 bagi gotong-royong penyelenggaraan jalan pertanian.

Sementara itu, Kampung Sayap menerima RM10,000 bagi perolehan kerusi guna sama untuk kegunaan dewan kampung.

Selain itu, Ewon turut bersetuju menyediakan peruntukan bagi menaik taraf jalan menuju ke kawasan perkuburan, menaik taraf dewan terbuka serta membina sebuah astaka di padang kampung berkenaan.

Leave a Reply

Designed with WordPress

Discover more from Press KL: Your Voice, Your Vision

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading