KLANG, 2 Jun – Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman menyatakan sokongan terhadap cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berhubung pelaksanaan dua skim pinjaman khas untuk usahawan mikro, kecil dan sederhana (MSME) bukan Bumiputera.
Beliau berkata, adalah tidak wajar sekiranya kedua-dua skim berkenaan dikenakan syarat pematuhan syariah sehingga menyukarkan sebahagian besar usahawan Cina dan India untuk mendapatkan akses pembiayaan.
Menurutnya, antara contoh termasuk perniagaan makanan tidak halal, kedai kopi, perniagaan perubatan tradisional Cina serta perniagaan milik komuniti India yang turut terkesan dengan syarat berkenaan.
“Hasrat kerajaan untuk membantu semua kaum adalah baik, namun pelaksanaannya perlu lebih adil dan praktikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ganabatirau mencadangkan agar kedua-dua skim pinjaman berjumlah RM100 juta untuk MSME milik masyarakat Cina dan RM50 juta untuk MSME milik masyarakat India (SPUMI) disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Beliau berkata BSN lebih sesuai kerana menawarkan perkhidmatan perbankan Islam dan konvensional serta tidak mewajibkan pematuhan syariah, sekali gus memudahkan akses kepada semua pemohon yang layak.
Tambahnya, rangkaian BSN yang mempunyai 387 cawangan di seluruh negara juga lebih luas berbanding institusi kewangan lain seperti SME Bank dan Bank Rakyat, sekaligus mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan skim tersebut.
“Cawangan BSN yang lebih meluas termasuk di Sabah, Sarawak dan kawasan separa bandar seperti Klang akan memastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasaran dengan lebih berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan supaya meneliti semula pelaksanaan skim berkenaan dan mempertimbangkan agar ia disalurkan melalui BSN bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih adil dan menyeluruh kepada semua komuniti yang terlibat.





Leave a Reply